Salam......
Al-kisah 1 - CINTA TULUS "FULUS"
Trend mencari teman atau kekasih di kalangan lelaki Asia Barat kini menular di kalangan gadis pintar dan wanita profesional yang kesepian.
Bermodalkan paras tampan serta menampilkan ciri-ciri lelaki romantik lelaki Asia Barat, ‘Pak Arab’ ini mudah mencairkan hati wanita yang kesunyian.
Apatah lagi jika mereka mengaku sebagai ahli perniagaan dan golongan intelektual, cinta wanita yang menjadi pilihan lebih mudah diraih.
Trend mempunyai kekasih ‘Pak Arab’ telah lama menular di institusi pengajian tinggi (IPT) berikutan peningkatan jumlah warga Asia Barat yang menuntut di negara ini.
Walaupun baru mengenali ‘Pak Arab’, gadis IPT tersebut mudah terjebak dengan jerat cinta hingga ada yang sanggup menggadai kehormatan mereka.
Persoalannya ke manakah noktah cinta ‘Laila Majnun’ ini? Putus cinta atau terus menjadi ‘teman sosial’ sehingga ditinggalkan pasangan?
Atau adakah Romeo Arab itu hanya menjadikan wanita-wanita negara ini sekadar ‘penawar kesepian’ sewaktu menjadi perantau di sini.
Kemusykilan itu timbul apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengakui permohonan rakyat negara ini untuk bernikah dengan warga Asia Barat kurang lapan orang dalam tempoh lima tahun.
Penolong Pengarah Bahagian KESUMA (Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid), Jakim, Rosnahni Ismail berkata, dari 2005 hingga Mei tahun ini, hanya tiga orang rakyat negara ini yang memohon berkahwin dengan warga Asia Barat.
Katanya, daripada jumlah itu seorang lelaki dan dua perempuan menetap di Semenanjung.
Menurut beliau, permohonan nikah itu dikemukakan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (pada 2006 dan 2008) serta Majlis Agama Islam Negeri Terengganu pada 2008.
‘‘Selain itu, Jakim tidak menerima laporan mengenainya daripada negeri-negeri lain,’’ katanya kepada Utusan Malaysia.
Berdasarkan statistik daripada Jakim itu, timbul persoalan sejauh mana tulusnya cinta ‘Pak Arab’ terhadap wanita negara ini.
Penulis yang meninjau kawasan-kawasan yang digemari oleh warga Asia Barat itu mendapati wanita yang menjadi kekasih Pak Arab semakin meningkat.
Mereka tidak ‘segan silu’ lagi mengikut ‘Pak Arab’ bersantai di kafe-kafe dan pusat beli-belah di ibu kota.
Siswi-siswi di pusat-pusat pengajian tinggi pula tidak malu mengaku mempunyai kekasih hati di kalangan ‘Pak Arab’.
Gara-gara mabuk cinta, gadis-gadis pintar ini mengikut telunjuk kekasih hingga terjebak dengan gaya hidup yang tidak bermoral.
Ada kalangan mereka sanggup merelakan maruah diri tergadai demi menagih cinta Romeo Asia Barat ini hingga lupa risiko yang bakal dihadapi.
Al-kisah 2 - Maruah tergadai kerana janji
‘‘Setiap kali aku bernafas, aku mengingatimu.”Itulah antara ungkapan cinta indah dilafazkan oleh jejaka Arab kepada gadis yang ingin ditawan.Pintarnya jejaka Arab bermain kata diakui oleh Aleeza Diana Ikhwan, 30, yang mengakui pernah mempunyai kekasih bernama Imran berasal dari Asia Barat. Malangnya, menurut Aleeza, cinta yang dibina selama empat tahun hancur.
‘‘Imran meninggalkan saya terkapai-kapai sendirian. Dia pulang ke negaranya sebaik sahaja tamat pengajian. Kononnya dipaksa kahwin dengan gadis pilihan ibunya. Akhirnya rahsia terbongkar kerana gadis itu memang kekasih hatinya.
‘‘Segala janji Imran yang mahu sehidup semati dengan saya lebur begitu sahaja. Saya tertipu. Sebelum ini Imran tidak pernah menunjukkan ‘tanda-tanda’ dia ada kekasih.
‘‘Cinta kami indah. Imran pandai memujuk, romantik dan melayan saya bagaikan ‘puteri’. Tidak langsung terlintas di fikiran bahawa cinta kami akan berakhir begini. Ibarat ‘habis madu sepah dibuang’,’’ ujarnya.
Air mata Aleeza mengalir laju. Walaupun kisah cintanya dengan Imran sudah tiga tahun berlalu tetapi dia merasakan baru semalam lelaki itu meninggalkannya.
Menurut Aleeza, pengorbanan membantu Imran sepanjang pengajian sia-sia. Duit dan masa terbuang begitu sahaja sepanjang bersama Imran.
‘‘Dalam asyik berkasih saya tidak sedar maruah diri turut tergadai. Ketampanan Imran meleburkan iman saya. Kini baru saya sedar bukan kasih sejati Imran tawarkan. Cinta Imran bertopeng nafsu semata-mata.
‘‘Mengambil kesempatan atas kelalaian saya. Saya terlena dengan janji-janji indah seorang jejaka asing,’’ kata Aleeza yang menasihatkan gadis negara ini supaya menjadikan kisah cintanya sebagai iktibar.
Bagi Ellyna (bukan nama sebenar) 26, percintaannya dengan jejaka Iran bernama Mahmudd Salleh kini dalam dilema.
Setelah dua tahun bercinta, Mahmudd mahu mengotakan janjinya dengan mengajak Ellyna bernikah secara mutaah.
Kononnya menurut Mahmudd, cara itu adalah jalan pintas untuk mereka hidup sebagai pasangan suami isteri yang ‘sah’.
‘‘Mahmudd mempunyai ciri-ciri lelaki yang saya idamkan. Baik hati, lemah lembut dan bertanggung jawab. Bagaimanapun kasih kami mendapat halangan keluarga. Mereka tidak percaya lelaki asing kerana bimbang saya akan dikecewakan,’’ katanya semasa ditemui di sebuah kafe popular di ibu kota.
Menurutnya, mereka berkenalan melalui seorang teman yang juga bercinta dengan warga Iran dalam satu jamuan Hari Raya Aidilfitri di ibu kota.
Ellyna berkata, tidak semua lelaki Asia Barat suka memperdayakan perempuan kerana ada juga yang bertanggung jawab serta mahu mendirikan rumah tangga.
Al-kisah 3 - Surat dari Penjara PerancisTerpedaya dengan perangkap cinta warga Arab, seorang gadis rakyat Malaysia kini dipenjara di Perancis kerana dipercayai terlibat dengan pengedaran dadah.
Gadis berusia 30 tahun yang dikenali sebagai Sarah Hani itu kini telah dua tahun ditahan di penjara dan kesnya akan dibicarakan semula di mahkamah negara itu tidak lama lagi.
Nasib yang menimpa Sarah Hani itu terbongkar apabila dia mengirim surat dari penjara kepada kawannya yang hanya mahu dikenali sebagai Liana, 32.
Menurut Liana, sehingga kini, Sarah Hani sudah mengirimkan tiga pucuk surat kepadanya dari penjara negara itu.
‘‘Surat dari penjara itu benar-benar mengejutkan saya. Sarah Hani mengaku ditahan di sebuah penjara kira-kira 200 kilometer dari kota Paris.
“Sarah menyebut ditahan polis di lapangan terbang negara itu atas tuduhan membawa ‘barangan’ yang menyalahi undang-undang.
‘‘Sarah tidak menyebut apakah ‘barangan’ itu. Cuma menyatakan kesal kerana diperdaya oleh kekasihnya,” jelas Liana kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Lebih menyedihkan kata Liana, lelaki Arab yang kononnya kekasih Sarah Hani itu terus menghilang dan gadis yang berasal dari Pantai Timur itu terpaksa menanggung musibah bersendirian.
Sarah Hani merupakan antara beberapa kisah duka gadis tempatan yang terperangkap dengan cinta warga Arab.
Al-kisah 4 - Wanita Malaysia Jelita & Pintar
Kelembutan dan keayuan paras rupa wanita Malaysia khususnya gadis Melayu mendorong jejaka Asia Barat untuk menjalin hubungan cinta dengan mereka.
Selain itu, jejaka Arab juga berminat dengan wanita negara ini kerana mereka berdikari, pintar, pemurah, peramah serta mempunyai sifat bertolak ansur yang tinggi.
Pengakuan terbuka mengenai sifat wanita negara itu dibuat oleh jejaka Arab yang ditemui semasa tinjauan penulis di sekitar ibu kota.
‘‘Kebanyakan gadis Malaysia berfikiran terbuka, cerdik, mewah, berdikari serta peramah. Mereka juga cantik dan menawan,’’ akui Syedd Reza Walid, 26, warga Iraq.
Dia yang menuntut di sebuah kolej di Damansara, dekat sini, mengakui sudah mempunyai kekasih, seorang gadis Melayu yang berasal dari utara tanah air.
‘‘ Walaupun kami baru tiga bulan bercinta saya sangat menyayanginya. Saya mahu membina kehidupan berkeluarga di negara ini. Kehidupan di sini sangat aman,’’ ujarnya.
Kavel Shahi, 24, yang baru enam bulan berada di Malaysia juga telah berjaya ‘mencuri hati’ gadis negara ini.
Jejaka dari Iran ini mengakui sedang menjalin cinta dengan gadis Melayu yang juga teman sekampus.
‘‘Gadis Melayu mempunyai paras jelita. Lemah lembut dan bijak. Saya merancang mahu berkahwin dengannya dan membina kerjaya serta rumah tangga di negara ini,’’ katanya.
Dia yang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, kehidupan di negara ini sangat menarik dan gembira kerana mempunyai kekasih yang setia.
Rakan senegaranya, Mahdi Saman, 24, juga memberi pendapat yang sama mengenai keperibadian wanita Malaysia.
‘‘Saya selesa dengan mereka. Baik hati dan rajin membantu rakan-rakan dari negara luar,’’ katanya yang bercadang menetap di ibu kota.
Jejaka Libya, Musbah Guma Alwarfaly, 26, pula gembira tinggal di negara ini kerana keramahan penduduknya serta dapat hidup dalam suasana aman.
‘‘Gadis-gadis di negara ini juga baik hati dan mudah mesra. Saya kagum walaupun rakyat negara ini pelbagai bangsa tetapi mereka boleh hidup dengan aman. Saya selesa tinggal di sini,’’ katanya yang menuntut di Universiti Tun Hussien Onn, Batu Pahat Johor.
Rakannya, Walid, 23, juga mengaku tertarik dengan wanita-wanita di sini tetapi belum ‘berani’ memikat mereka.
‘‘Bila cuti kami sering bersiar-siar di ibu kota untuk melihat keindahannya sambil mencari kenalan. Wanita Malaysia memang pandai bergaya,’’ katanya.
Moral of the Story : - Bukalah pintu hati kamu menilai seseorang dengan mata hati yang nurani, jangan buka mata kamu semata-mata untuk mencari keindahan diluaran tetapi keburukan di dalaman.
No comments:
Post a Comment
dear frens,
who ever u r, where ever u from, what ever u want to b..as long as my frens do says sumthing or comment.
luv u...always.. make my day be brighter.