credit to Hussain Said & Jumiaty Rosly
Berita Online
Malaysia bawa bekalan selesa 3-0 ke Jakarta
KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak Malaysia menunaikan hajat besar jutaan peminat bola sepak tanah air, dan kini mereka hampir mendakap Piala Suzuki AFF buat julung kali selepas menewaskan Indonesia 3-0 dalam perlawanan akhir pertama, di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Situasi ini membuatkan pasukan pelawat bergelar Merah-Putih itu bertambah pincang kerana ada tugasan besar untuk dibereskan di Jakarta, Rabu ini dalam perlawanan akhir kedua dengan realitinya harus menjaringkan empat gol tanpa dibolosi untuk menafikan impian pasukan Harimau Malaysia.
Pancaran laser dan letupan bom asap pada babak kedua di gelanggang menyentap sedikit penghormatan negara kerana gelagat penyokong yang kurang bertanggungjawab tapi dua gol daripada Mohd Safee Sali pada minit ke-60 dan 72 serta satu menerusi pemain gantian, Mohd Ashari Samsudin, minit ke-68 berjaya memadamkan ‘gangguan sementara’ itu.
Jurulatih, K Rajagobal yang merancang baik strategi pasukan pada setiap perlawanan mengulangi komitmen sama dan beranggapan gol pertama pada babak kedua meniup semangat pemainnya untuk mencari kemenangan mutlak di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
“Selepas mendapat gol pertama, sama seperti di Indonesia dulu, ia menaikkan semangat pemain dan selepas itu, kita terus menyerang dan mendapat gol kedua dan ketiga. Kita mungkin boleh menambah gol keempat namun pengadil tidak memberikan sepakan penalti.
“Sebelum bermain, saya sudah dapat rasakan yang kita akan mendapat tiga gol. Apa yang pasti pemain berjaya menghiburkan seluruh penyokong kita di stadium malam ini (malam tadi). Mereka berhak untuk menang ,” katanya.
Kedudukan berbekal modal selesa ini akan dibawa pasukan ke Stadium Gelora Bung Karno, Rabu ini ketika ramai sudah beranggapan pasukan kebangsaan ini ada ramuan untuk mengatasi rekod barisan 1996 – yang layak ke final – untuk muncul juara baru kali ini.
Dalam final pada tahun berkenaan pasukan yang dibintangi pemain seperti Zainal Abidin Hassan gagal menjulang trofi berkenaan apabila tewas 0-1 kepada Thailand dalam perlawanan akhir di Singapura.
Kali terakhir pasukan negara menewaskan Indonesia dalam final kejohanan utama adalah pada Sukan SEA 1979 di Jakarta 1-0 menerusi jaringan tunggal Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.
HARIMAU BAHAM GARUDA
credit to MUHAMMAD DAYNE AZMIN,
FERZALFIE FAUZI dan ZAZALI JAMIAN
Utusan online
KUALA LUMPUR – Dendam terbalas! Garuda tersembam ke bumi dibaham Harimau Malaya. Nampaknya reputasi gah Indonesia sekadar omong kosong apabila anak-anak buah K. Rajagobal memastikan penyokong Malaysia berpesta di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan kemenangan cukup menyakinkan, 3-0.
Luka kekalahan 1-5 di Jakarta telah diubati dengan kemenangan berharga ini dan Malaysia kini berpeluang cerah menjulang trofi Piala Suzuki AFF buat kali pertama.
Turut menyaksikan kemenangan bersejarah itu ialah Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan dif-dif kehormat yang lain.
Dianggarkan sebanyak 85,000 penonton membanjiri stadium pada malam, semalam.
Nama Safee Sali layak disanjung sebagai wira Malaysia kerana dua golnya pada minit ke-59 dan 71 selain Mohd. Ashari Samsudin pada minit ke-67 memastikan Malaysia membuatkan Indonesia pulang dengan penuh kekecewaan.
Kemenangan ini sudah pasti memberikan kelebihan besar buat Malaysia yang akan bertandang ke bumi Jakarta pada Rabu depan untuk perlawanan akhir kedua.
Walaupun beraksi agak gementar pada separuh masa pertama, percaturan bijak Rajagobal memasukkan Ashari dan mengeluarkan
Mohd. Amirulhadi Zainal untuk menukar rentak serangan sebaik bermula separuh masa kedua membuahkan hasil lumayan buat pasukan negara.
Ashari bagaikan menjadi senjata sulit negara apabila serangan dari arah sebelah kiri jelas bertenaga dan membuatkan benteng Indonesia dalam keadaan kucar-kacir.
Detik gemilang Malaysia bermula 14 minit pada separuh masa kedua, apabila pengantin baru yang melangsungkan majlis persandingannya, Norshahrul Idlan Talaha bijak menghukum kesilapan Maman Abdurachman di sebelah kanan sebelum melorongkan bola kepada Safee yang tidak dikawal untuk memberikan gol pembukaan buat Malaysia.
Keyakinan Garuda sedikit terjejas selepas Malaysia meraih gol pertama dan kesempatan itu diambil oleh pemain Malaysia, hasilnya, Ashari melakukan rembatan menarik dalam kotak penalti pada minit ke-67 untuk menewaskan Markus yang hanya mampu tergamam.
Keadaan di Bukit Jalil gegak gempita sementara penyokong Indonesia terus bermuram apabila Malaysia memperoleh gol ketiga hasil hantaran silang yang cantik daripada bek kanan, Mahalli Jasuli sebelum disudahkan melalui tandukan Safee pada minit ke-71 bagi meletakkan Harimau Malaya kini sebelah kaki untuk menjulang Piala AFF.
Selepas gol tersebut, aksi pemain Indonesia semakin longlai, namun sebaliknya keyakinan pemain Malaysia semakin menggila, malah hampir mendapat gol keempat melalui sayap lincah negara, S. Kunanlan pada masa kecederaan tetapi Markus sempat menghalang.
Dalam aksi di Jakarta nanti, Malaysia sudah pasti akan kehilangan khidmat Mohd. Amirulhadi Zainal yang mengutip kad kuning kedua dalam perlawanan ini sementara Indonesia pula terpaksa meratapi ketiadaan Oktovianus Maniani yang turut menerima nasib yang sama.
****90,000 penonton @ penyokong bola sepak membanjiri Stadium Nasional****
No comments:
Post a Comment
dear frens,
who ever u r, where ever u from, what ever u want to b..as long as my frens do says sumthing or comment.
luv u...always.. make my day be brighter.