Titah baginda, perolehan dua kapal selam Scorpene dari Perancis itu turut memberikan manfaat dalam mewujudkan satu angkatan tentera negara yang lebih berwibawa dan disegani terutamanya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
kapal selam kebanggaan negara, KD Tunku Abdul Rahman yang membawa 32 anak kapal selamat tiba di Pangkalan Pusat Hidrografi Nasional, TLDM di Pulau Indah, Klang, Selangor, semalam selepas melalui pelayaran selama 54 hari sejauh 6,000 batu nautika dari Toulon, Perancis. Kapal selam kedua KD Tun Razak dijangka tiba Mac tahun depan. – Utusan/ Mohd. Shaharani Saibi
‘‘Projek perolehan kapal selam TLDM ini adalah satu pelaburan dan komitmen terbesar yang dibuat oleh kerajaan untuk meningkatkan keupayaan tentera Malaysia dalam menentukan kedaulatan negara terjamin dan selamat daripada sebarang ancaman.
‘‘Selain itu, perolehan aset ketenteraan ini juga membolehkan TLDM khususnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi satu angkatan yang lebih berwibawa di rantau ini,” titah baginda.
Tuanku Mizan bertitah demikian ketika menyambut ketibaan kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman termasuk 32 anak kapalnya kira-kira pukul 8 pagi ini di Pusat Hidrografi Nasional TLDM, Pulau Indah di sini hari ini.
Turut hadir Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Hadir sama ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
KD Tunku Abdul Rahman diserahkan secara rasmi kepada kerajaan oleh syarikat kontraktornya, Armaris pada 25 Januari lalu dan pentauliahan kapal berkuasa diesel-elektrik itu ke dalam perkhidmatan TLDM disempurnakan pada 27 Januari oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.
Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama Sultan Sharafuddin Idris Shah, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (depan kiri), Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin, Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Mohd. Sidek Hassan, Azizan Ariffin, Musa Hassan dan Abdul Aziz Jaafar (kanan) bergambar di atas kapal selam KD Tunku Abdul Rahman yang selamat tiba di Pangkalan Pusat Hidrografi Nasional TLDM di Pulau Indah, Klang, semalam. – Utusan/Saharuddin Abdullah
KD Tunku Abdul Rahman memulakan pelayaran pulang ke negara ini dari Toulon, Perancis pada 11 Julai lalu selepas selesai pembinaannya serta menjalani latihan selama empat bulan meliputi kemahiran serta penyenggaraan.
Dalam tempoh pelayaran yang meliputi jarak sejauh 6,000 batu nautika, KD Tunku Abdul Rahman telah singgah di beberapa pelabuhan utama dunia meliputi Jeddah, Djibouti dan Cochin di India.
Tuanku Mizan turut melahirkan rasa kagum terhadap anak kapal KD Tunku Abdul Rahman yang berjaya mengharungi latihan selama empat tahun bagi memahirkan diri dalam pengendalian serta taktik peperangan kapal selam.
‘‘Beta sedar kapal selam memerlukan warga kerja yang memiliki kecenderungan dan kemahiran yang tinggi bagi mengoperasi dan mengendalikannya.
‘‘Maka kejayaan ini juga hasil dedikasi, kerjasama dan komitmen yang cemerlang semua warga KD Tunku Abdul Rahman selaras dengan cogan kata TLDM iaitu Sedia Berkorban,” jelas baginda.
Tuanku Mizan turut mengingatkan TLDM supaya menjaga dan menggunakan sepenuhnya aset penting dan berteknologi tinggi seperti KD Tunku Abdul Rahman bagi memastikan kredibiliti angkatan laut itu sebagai pasukan yang menjaga perairan negara terus terpelihara.
Anak kapal gembira jadi perintis
PELABUHAN KLANG 3 Sept. - Setelah berlayar 54 hari melibatkan perjalanan sejauh 6,000 batu nautika, 32 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tersenyum puas selain berasa bangga kerana menjadi anak kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman.
Mereka yang tiba di Pusat Hidrografi Nasional TLDM, Pulau Indah di sini pada pukul 8 pagi tadi menyifatkan perkhidmatan di atas KD Tunku Abdul Rahman merupakan pengalaman baru yang sukar dilupakan.
Bagi Leftenan Komander Chan Ling Ket, 31, beliau dapat merasakan kelainan ketika berkhidmat di atas kapal selam berbanding kapal biasa.
Ketua Pegawai Mekanikal di KD Tunku Abdul Rahman itu menambah, aktiviti di dalam kapal selam dirasakan agak 'lambat' kerana tidak boleh menjangka keadaan di luar kapal selam.
''Kapal selam berbeza kerana kita sepenuh masa berada di dalam air. Ketika berlayar, kita naik ke permukaan hanya dalam keadaan tertentu.
''Kita tidak tahu sama ada malam atau siang jika berada dalam kapal selam, yang menjadi petunjuk kita ialah waktu sahaja," katanya.
Beliau ditemui selepas majlis menyambut ketibaan KD Tunku Abdul Rahman termasuk 32 anak kapal kira-kira pukul 8 pagi ini di Pusat Hidrografi Nasional TLDM, Pulau Indah di sini hari ini.
Seorang lagi anak kapal, Pegawai Waran II Fazuri Ishak, 37, yang bertugas sebagai Penyelia Torpedo memberitahu, sepanjang pelayaran pulang, dia dan anak kapal lain tidak mempunyai sebarang masalah daripada segi teknikal mahu pun fizikal.
Katanya, beliau telah didedahkan dengan pelbagai situasi ketika menjalani latihan bagi membolehkannya sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku.
Menurutnya, kapal selam tersebut mempunyai enam tiub torpedo yang boleh dilancarkan sekiranya diancam musuh.
''Bagaimanapun sepanjang pelayaran balik ke Malaysia, tiada keadaan yang tidak diingini berlaku,'' ujarnya.
Dalam pada itu salah seorang anak kapal selam berkenaan, Mohd. Nazri Kasmi, 36, memberitahu, situasi dalam kapal selam tersebut amat berbeza kerana mereka berada dalam ruang sempit bukan seperti kapal biasa.
''Jadi kita terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan dan ruang kerja di dalam kapal selam ini.
''Namun saya tetap bangga menjadi anak kapal pertama kapal selam negara. Saya percaya kemampuan saya ini adalah hasil doa serta sokongan daripada keluarga," katanya yang bertugas sebagai jurumudi.
Pegawai Keselamatan Dalam Kapal Selam, Leftenan Komander Mohd. Rasul Md. Sharif, 31, turut melahirkan rasa syukur kerana sepanjang pelayaran pulang ke Malaysia, tiada kejadian tidak diingini berlaku.
''Keadaan di dalam laut dan ketika kapal timbul juga baik, laut yang tidak bergelora turut menyumbang kepada pelayaran yang baik mengikut jadual," ujarnya.
Mohd. Rasul yang berasal dari Petaling Jaya dekat sini turut bersyukur dengan kepulangan tersebut kerana dapat bersama isterinya, Mejar Dr. Aida Zuriati dan anak mereka, Khatijah Umairah, 4, dan Umar Harith berusia satu tengah tahun.
credit to: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment
dear frens,
who ever u r, where ever u from, what ever u want to b..as long as my frens do says sumthing or comment.
luv u...always.. make my day be brighter.