credit to: Utusan Malaysia
Kampung tertimbus jadi kubur besar
PADANG 7 Okt. - Gabenor Sumatera Barat, Gamawan Fauzi hari ini berkata, kampungkampung yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh berpunca daripada gempa bumi kuat pada minggu lepas mungkin diisytiharkan sebagai kubur besar.
Sehingga 400 orang dipercayai tertanam hidup-hidup apabila lereng-lereng bukit runtuh berikutan gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter pada Rabu lalu.
Angka kematian rasmi akibat gempa bumi Rabu lalu, masih 704 orang tetapi Palang Merah percaya angka terakhir akan melebihi 3,000 kerana ratusan mayat masih terperangkap di bawah runtuhan.
Empat kampung berdekatan di daerah Padang Pariaman ditelan bumi dalam kejadian tersebut.
Menurut Gamawan, kebanyakan mayat mangsa mungkin tidak akan ditemui atau berada dalam keadaan begitu reput sehingga lebih baik untuk membiarkannya dalam keadaan tertimbus.
"Jika selepas sekian banyak hari berlalu mayat itu sudah reput, jika kita menggali tanah, lengannya tertanggal dan kakinya tercabut, itu tidak baik.
"Jika penduduk kampung bersetuju, dari sudut agama adalah tidak mengapa jika mayat tidak dikebumikan semula. Jadi kawasan itu akan diisytiharkan sebagai kubur besar," kata Gamawan kepada wartawan di ibu kota wilayah, Padang.
Sementara itu, agensi-agensi bantuan mengejar masa untuk menghantar bantuan ke kampung-kampung di kawasan pedalaman yang masih terputus hubungan seminggu selepas bencana tersebut.
Kira-kira setengah juta penduduk dipercayai hilang tempat tinggal, menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Palang Merah berasaskan angka rasmi rumah musnah iaitu kira-kira 100,000 buah.
Penyelaras bantuan kemanusiaan PBB, Rachel Lavy berkata, tidak ada kekurangan bekalan bantuan dan banyak lagi yang akan sampai dengan kapal-kapal perang Amerika Syarikat (AS) yang dijadual tiba di perairan Sumatera lusa.
Sebuah hospital sementara tentera AS dengan kemampuan untuk merawat 400 orang telah didirikan di tengah Padang dan dijadual mula menerima pesakit hari ini.
Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Indonesia, Priyadi Kardono berkata, helikopter telah melakukan enam pengguguran bantuan di kampung-kampung terpencil semalam dan lebih banyak penerbangan dijadualkan hari ini.
"Bekalan bantuan mencukupi tetapi kami tetap mengalu-alukan bantuan lagi. Kami mempunyai cukup khemah dan kira-kira 19,000 tan beras yang boleh menampung keperluan selama empat bulan," katanya.
Menurut Lavy, cabaran terbesar ialah pengagihan bantuan terutamanya di kawasan pergunungan.
"Agensi masih melaporkan kawasan di sana sini di mana penduduk mengadu mereka belum menerima sebarang bantuan," katanya.
Tidak ada tanda-tanda wabak penyakit sekalipun bekalan air minum kekurangan dan ratusan mayat reput masih tertimbus di bawah runtuhan.
Pihak berkuasa menyemburkan bahan pembasmi kuman ke atas runtuhan bangunan yang diketahui terdapat mayat terperangkap.
Gamawan menafikan ada kawasan yang belum menerima bantuan dan menyalahkan pihak berkuasa tempatan sebagai punca kelewatan.
"Di mana pengagihan bantuan tersekat? Jika tersekat, kemungkinan (ia berlaku) antara pihak berkuasa daerah dengan penduduk.
"Bayangkanlah, jika 100,000 rumah runtuh, itu bermakna 500,000 orang hilang tempat tinggal. Jika ada enam atau 10 orang yang tidak berpuas hati, janganlah menjadikannya tajuk berita," kata beliau.
Gabenor itu berkata, pihaknya menjaga kebajikan 500,000 penduduk dalam masa sangat singkat. - AFP
Selepas Ketsana, ribut Parma pula memukul Filipina
MANILA 7 Okt. - Ribut tropika Parma membawa lebih banyak hujan dan kesulitan ke kawasan-kawasan banjir di utara Filipina hari ini, tatkala ia berlegar-legar di perairan tersebut tiga hari berturut-turut.Sementara ia dilihat semakin lemah, Parma kekal bergerak kira-kira 60 kilometer dari kawasan pantai barat laut pulau utama Luzon, kata pegawai cuaca.
Kerajaan telah memberi amaran kepada para penduduk di rantau itu supaya berwaspada dengan bencana tanah runtuh dan lebih banyak banjir besar.
Parma memukul utara Luzon pada Sabtu lalu, sekali gus menyebabkan banjir yang turut menenggelamkan kawasan ladang termasuk meragut 16 nyawa.
Ia melanda tepat seminggu selepas ribut tropika Ketsana membawa banjir besar di selatan Luzon di Manila dan kawasan sekitar di ibu negara, menyebabkan empat juta penduduk terjejas dan mengorbankan sekurang-kurangnya 295 orang.
Banyak kawasan di Manila termasuk di wilayah utara masih mengalami banjir, memaksa segelintir mangsa yang terselamat mengharungi air pada paras leher untuk mendapatkan bantuan barangan keperluan dan lain-lain bagi meneruskan hidup di rumah yang separuh tenggelam.
Dengan lebih banyak hujan dijangka turun di Filipina, agensi bantuan berkata, mereka kini sedang meningkatkan operasi bantuan.
"Rata-rata mereka yang memerlukan tinggal di kawasan yang masih sukar dimasuki berikutan banjir yang berlaku," kata pengarah Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) negara, Stephen Anderson dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, agensi tersebut telah menggunakan bot dan helikopter untuk menghantar makanan, manakala tentera Amerika Syarikat (AS) juga telah menghantar aset-aset udaranya dalam usaha menyalurkan bantuan.
PBB telah mengeluarkan rayuan bagi mengumpul dana bantuan kecemasan sebanyak AS$74 juta (RM266 juta) untuk disumbangkan kepada negara yang terjejas.
Presiden AS, Barack Obama turut menyampaikan ucapan takziah kepada Filipina Selasa lalu dan berkata, kerajaannya telah menyediakan sebanyak AS$1.8 juta (RM6.5 juta) untuk rakan sekutunya di Asia Tenggara bagi membantu menangani bencana banjir tersebut. - AFP
Jepun dilanda Taufan Melor
TOKYO 7 Okt. - Hujan lebat dan angin kuat yang melanda barat daya Jepun dan muncul hari ini sebagai Taufan Melor yang sangat kuat telah memutuskan bekalan elektrik kepada lebih 10,000 buah rumah serta menerbangkan bumbung-bumbung, menurut pegawai agensi ramalan cuaca.Ribut ganas itu merupakan taufan pertama yang muncul di Jepun sejak tahun 2007, agensi cuaca memberi amaran.
Taufan Melor dengan kelajuan sehingga 216 kilometer per jam bergerak ke timur Pulau Amami-Oshima di selatan Jepun awal hari ini dan dijangka menghala ke pulau utama Honshu esok.
"Hujan lebat dan angin kuat dijangka melanda kepulauan itu, malah ia turut dijangka akan mengganas," ujarnya.
Sejumlah 10,100 buah keluarga terputus bekalan elektrik awal hari ini di Amami-Oshima dan di pulau-pulau kecil di kawasan lain, menurut syarikat tenaga elektrik tempatan.
"Kami telah menasihatkan orang ramai yang merancang untuk berpindah supaya berbuat demikian ketika waktu siang sebelum angin menjadi lebih kuat," kata pegawai pengurusan bencana tempatan, Koki Ishino.
Para pegawai telah menasihatkan penduduk supaya meletakkan penghalang pada setiap tingkap, memenuhkan kolam mandi dengan air sekiranya terputus bekalan dan mengumpulkan barangan keperluan harian jika perlu berpindah.
Ribut dengan angin sekuat 162 kilometer per jam berhampiran pusatnya itu dikhuatiri akan menurunkan hujan lebat sebanyak 500 milimeter padu di barat daya Jepun dalam tempoh 24 jam menjelang esok, menurut agensi cuaca itu.
Melor mungkin akan muncul di barat Honshu esok dan mengganas di gugusan kepulauan itu menyamai taufan yang pernah melanda pada tahun 1959 yang mengorbankan beriburibu nyawa. - AFP
Lebih 300 maut banjir di India
BURDIPADU 7 Okt. - Angka kematian akibat banjir terburuk di selatan India dalam tempoh berpuluh-puluh tahun meningkat kepada lebih 300 orang hari ini, sementara ratusan ribu lagi mangsa belum mendapat bantuan.Sekurang-kurangnya 1.5 juta penduduk terpaksa berpindah di negeri Karnataka, Maharashtra dan Andhra Pradesh berikutan hujan lebat selama berhari-hari.
Di Karnataka sahaja, lebih 200 orang terkorban, kata setiausaha agensi pemantauan bencana di negeri itu, H.V. Parashwanath.
Beliau menganggarkan 200,000 hingga 300,000 penduduk di kampung-kampung yang dilanda banjir belum menerima bantuan.
Pihak berkuasa melaporkan, lebih setengah juta mangsa berlindung di kem-kem bantuan di Andhra Pradesh, manakala 650,000 lagi ditempatkan di pusat perlindungan sementara di Karnataka.
Penduduk yang berlindung di atas beranda dan bumbung rumah mengadu bantuan makanan dan lainnya lambat sampai kepada mereka. - AFP
*** Apakah ini di katakan bencana Alam mengikut cara saintifik atau hukum Illahi yang Maha Mengetahui***
*** Renung- renungkan....***
No comments:
Post a Comment
dear frens,
who ever u r, where ever u from, what ever u want to b..as long as my frens do says sumthing or comment.
luv u...always.. make my day be brighter.