Tuesday, October 27, 2009

Hans Kotakan Janjinya

EMPAT tonggak Cuci The Musical iaitu Awie, Hans, Afdlin dan AC.

Cuci The Musical yang dibarisi bintang terkenal tanah air sarat adegan pecah perut

USAH dibandingkan Cuci The Musical (CTM) dengan teater lain kerana persembahan oleh Tall Order Productions ini mampu berdiri atas nama dan kekuatannya sendiri. Tampak ringkas, tetapi teater ini sarat dengan detik yang menghiburkan serta persembahan memberangsangkan barisan bintangnya.

Elemen komedi yang kuat, diselitkan menerusi dialog serta gelagat pelakonnya di pentas, membuatkan penonton tidak kering gusi sepanjang hampir tiga jam persembahan berjalan. Bahkan, CTM hampir disalah erti sesetengah peminat sebagai sebuah pementasan lawak, dek banyak sekali saat melucukan termuat di dalamnya.


Dialog kelakar yang terpacul secara tiba-tiba di mulut pelakon, dikira amat menjadi, sehingga peminat tidak senang duduk di kerusi. Janji yang diucap Penerbit Eksekutifnya, Hans Isaac, ketika ditemui Hip beberapa minggu lalu bahawa peminat akan ketawa besar melihat pelbagai telatah watak dalam teater itu kini ditepati.

Begitupun, pengarah bersama, Datuk Zahim Al-Bakri dan Harith Iskander tidak melupakan genre asal teater ini. Maka, selang beberapa ketika, penonton dihidang dengan nyanyian bintangnya termasuk Afdlin Shauki, AC Mizal, Awie, Vanidah Imran, Adibah Noor, Ramli Hassan, Harith dan Hans sendiri.

Hampir 90 peratus bintang yang mewarnai CTM ialah pelakon yang turut bergelar penyanyi, ataupun sudah berpengalaman luas dalam persembahan muzikal. Lalu, nyanyian secara langsung mereka dilihat berjaya memikat hati, disokong pula irama sedap didengar ciptaan Pacai dan Douglas Lim.

HARITH memikul dua tanggungjawab, sebagai pengarah dan pelakon.

Antara yang menyerlah tentunya Adibah, yang melontarkan vokal terbaik setiap kali membuka mulutnya. Dewan bagai terdiam tatkala penyanyi Terlalu Istimewa ini mengambil giliran menyampaikan lagu seterusnya.

Adibah juga kelihatan sangat serasi berpasangan dengan Awie, seorang lagi penyanyi yang sememangnya terkenal dengan vokal yang tinggi. Pasangan ini nampak comel bersama, sedikit sebanyak menghidupkan lagi cerita yang diketengahkan. Penonton pasti tertawan dengan kisah cinta dua penyanyi dan pelakon ini.

Pada masa yang sama, lakonan pelakon lain harus dipuji. Afdlin, Ramli, Harith dan rakan yang lain cuba mempamerkan persembahan terbaik. Penonton akan terasa melihat aksi Afdlin, mereka ketawa menyaksikan gelagat Awie dan AC, ada yang tersenyum dengan sikap jujur Hans serta tidak kurang yang terpikat dengan penampilan Vanidah.

Namun, AC seakan berjaya meletakkan dirinya setapak di depan dengan persembahan begitu membanggakan. Dengan aksi serta lakonan yang semula jadi, lontaran vokal yang baik serta lawak yang memang mencuit hati, pelakon ini memastikan kelibatnya di pentas tidak dibayangi bintang lain.

CTM bukan hanya menghiburkan peminat dengan lawak pecah perut dan kehebatan nyanyian mahupun keindahan lagunya, ia juga menyuntik elemen baru dalam pementasan teater di negara ini. Paling ketara, semestinya kewujudan babak pertandingan mencuci bangunan, yang menyaksikan pelakonnya perlu menuruni dinding agak tinggi. Ada juga babak romantik yang menyaksikan Hans dan Vanidah menaiki gondola, memberikan penonton satu pandangan berbeza.

Pujian juga patut diberikan kepada pereka tari, Stephen Rahman-Hughes. Daripada watak Hang Tuah dalam pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical, dia kini bertanggungjawab mereka gerak tari untuk Cuci. Namun, gerakannya agak berbeza, yang membantu CTM untuk nampak berlainan daripada teater sebelum ini. Cuma, ketidaksamaan pergerakan yang kadang kala berlaku di kalangan pelakonnya boleh mengganggu konsentrasi.

CTM juga agak meleret, sehingga persembahan yang dimulakan kira-kira jam 8.45 malam hanya tamat selepas jam 12 tengah malam (dicampur rehat selama 15 minit di antara dua babaknya). Jika bahagian pertama mengajak penonton ketawa melihat pelbagai babak lucu, bahagian kedua pula lebih dramatik apabila konflik mula berlaku.

Muzikal ini bukan saja mengajak penonton mengikuti perjalanan suka duka empat beradik ini mencapai impian, malah ketika yang sama mengerti erti persaudaraan, pengorbanan, kekecewaan dan kasih-sayang. Sebuah persembahan yang membanggakan, CTM memastikan penonton pulang dengan sejuta tawa dan kenangan.

Teater muzikal ini dipentaskan di Istana Budaya sehingga 8 November. Tiket menyaksikan persembahan boleh didapati di Istana Budaya dan menerusi Axcess Tickets Sdn Bhd.

SINOPSIS: Cuci The Musical

CUCI The Musical mengisahkan empat beradik, Fairil (Afdlin), Khai (Hans), Jojo (Awie) dan C’Tan (AC) yang mengusahakan perniagaan mencuci tingkap bangunan secara kecil-kecilan. Selepas sedekad, syarikat Cuci Cuci Services dilihat belum mencapai kemajuan, akibat semangat mereka yang kurang. Hanya Fairil yang sering dilihat memasang impian untuk maju ke depan.

Bagaimanapun, peluang untuk mencapai impian tiba apabila Cuci Cuci Services dijemput menyertai pertandingan mencuci tingkap, Window Washing Olympics. Pertandingan itu diselenggara syarikat diketuai Citi Jasmin atau CJ (Vanidah), anak seorang lelaki berjaya bergelar Tan Sri (Ramli). Pemenang pertandingan akan diberikan kontrak mencuci Menara Berkembar KLCC.

Pada pertandingan itu, mereka perlu berdepan dengan juara bertahan, kumpulan Wira Maju yang diketuai oleh teman lelaki CJ, Wira (Harith). CJ yang meragui cinta Wira padanya mula menyimpan perasaan pada Khai apabila mereka bertemu dalam keadaan yang sungguh tidak disangka. Manakala pembantunya, Farah (Adibah), pula terpikat pada Jojo, lelaki yang pandai memasak.

credit: Nurulhisham Abdul Latiff

nurul@bharian.com.my

MOH KITA BERAMAI-RAMAI NONTON
CUCI THE MUSICAL

DI PANGGUNG ISTANA BUDAYA...

No comments:

Post a Comment

dear frens,
who ever u r, where ever u from, what ever u want to b..as long as my frens do says sumthing or comment.
luv u...always.. make my day be brighter.