Wednesday, October 21, 2009

LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG


Pada 22 Oktober ini, 30 buah pawagam bakal dihangatkan dengan sebuah filem epik yang diolah berdasarkan kisah benar. Lebih mengejutkan, filem tersebut mengambil masa hampir empat tahun untuk disiapkan akibat pelbagai masalah misteri hingga membantutkan kelancarannya.

Malah pelakon utamanya iaitu Farid Kamil ketika mula-mula berlakon dalam filem tersebut baru sahaja berusia 22 tahun. Selanjutnya, ketika berusia 25 tahun, Farid menyambung lakonannya semula untuk memperkemas filem Lembing Awang Pulang Ke dayang yang disifatkannya amat mencabar.
"Untuk menghayati watak Awang, saya telah meminta izin dan tunjuk ajar daripada waris Awang sendiri di Johor. Dengan tunjuk ajar mereka, Alhamdulillah... saya seperti mendapat semangat baru untuk berlakon dengan lebih baik," ujar Farid ketika ditemui di majlis pratonton filem tersebut di Mutiara Damansara.

Sinopsis


Kisah terjadi kira-kira 200 tahun dahulu disebuah pekan bernama Padang (sekarang di daerah Muar). Terdapat seorang gadis rebutan pemuda kampung bernama Dayang (Siti Elizad). Dayang menaruh hati terhadap Awang (Farid Kamil), pemuda tampan harapan Padang.
Apabila Awang masuk meminang, bapa Dayang (Dato Kuswadinata) yang mementingkan darjat, mengenakan syarat yang ketat sehingga Awang terpaksa belayar selama 3 tahun. Awang menyahut cabaran adat dan belayar meninggalkan Padang berbekalkan janji Dayang untuk kekal setia sehingga ‘keringlah laut tanah Melaka’. Bachuk (Zul Huzaimi) juga meminati Dayang. Dengan ketiadaan Awang dan dengan bantuan guru silatnya Panglima Merah (Hattan) yang juga bekas ketua lanun, Bachuk mengumpan Pak Long agar dapat mendekati Dayang. Pelayaran Awang hampir musnah apabila sampannya di serang lanun. Dia dijumpai terdampar di pantai oleh seorang pengembara aneh yang gemar berfalsafah bernama Dekar Agas (Aziz M Osman). Dengan bantuan Nakhoda Galigo (Khir Rahman), Awang belayar ke Makasar (Pulau Sulawesi) untuk mencari duit dan kain mastuli. Dia bertemu dengan Claudia (Mei-Ling Ludi), seorang wanita Belanda cantik yang jatuh cinta kepada Awang dan tidak membenarkan dia balik ke Padang. Apabila tempuh 3 tahun hampir tiba, Awang masih belum pulang dan Dayang diresahi khabar-khabar angin yang tidak baik. Usaha Bachuk mendekati Dayang masih berterusan dan Dayang kini sudah jinak-jinak merpati.


credit to: myartis.com

Dari Kisah Benar


Menurut sejarawan Johor, Shahrom Hussien, peristiwa menyayat hati ini berlaku pada 1776, apabila anak penghulu Parit Bakar, Bacok dari keturunan Bugis berebutkan Dayang yang telah bertunang dengan pemuda sekampungnya, Awang.

Pertengahan 1776 - Ketika matahari pagi baru bersinar di ufuk timur, perahu Awang tiba di Pangkalan Kuala Parit Raja Muar , Johor setelah hampir genap tiga tahun lima bulan belayar. Dia mengandarkan dua batang lembing kurniaan Raja Bugis sambil menjinjing bungkusan kain mastuli (kain sutera yang kasar dan kuat) dan uncang yang mengandungi wang 377 duit sebagai hantaran perkahwinan dengan Dayang.

Sebaik Awang naik ke pangkalan, beberapa pemuda berlari-lari ke arahnya dengan kehairanan. Mereka seperti terkejut melihat Awang. Lantas mereka menyampaikan berita pernikahan Dayang dengan Bacok dan upacara persandingan yang akan diadakan selepas Asar nanti.

"Jadi semua ini angkara Bacok!!!!" kata Awang dengan geram. Pemuda-pemuda itu yang merupakan rakan-rakan awang mengangguk-angguk. Setiba di rumah, Awang termenung panjang. Di kala itu juga darahnya tambah menggelegak apabila terbayangkan kebaculan Bacok memfitnah kononnya dia mati dalam pelayaran.

"Sedangkan lautan luas dapat kuharungi, inikan pula bumi medan tempat berpencak. Tiap-tiap yang menebus mesti sanggup membayar....." kata Awang penuh geram.

Tengah hari itu di hujung serambi, awang melumur salah satu lembingnya sementara sebilah lagi disandarkan ditepi tiang.

"Kenapa satu lembing saja dilumuri air limau?" tanya ibu Awang.

"Tandanya lembing ini menangis mak. Ini yang betina. Ia malu kerana tak dapat disatukan dengan lembing jantan tu. Sebab itulah Awang terpaksa jauhkan antara satu sama lain. Sebab bukan jodohnya. Kalau tak diceraikan kita seisi rumah akan menangis mak," beritahu Awang. Melopong mulut ibu Awang mendengarnya.

Selepas Asar, Awang menyelinap dicelah-celah orang ramai yang sudah memenuhi halaman rumah Dayang. Di pinggangnya tersisip badik berulang mambang, sementara tangan kanannya mengenggam sebilah lembing. Bunyi nafiri, gong dan gendang riuh-rendah tanda pengantin lelaki akan tiba. Bacok memakai baju pesak sebelah, berseluar singkat kaki kecil dan bertanjak hitam segak duduk di atas tandu.

Sebaik usungan tiba di depan tangga rumah pengantin, tanpa berlengah Awang merodok mata lembing ke perut Bacok. Gempar! Suara jerit pekik orang ramai yang ketakutan gegak gempita. Darah menyembur dari perut Bacok dan pemikul usungan lari lintang pukang.

Seorang dua tetamu bersusah payah mencabut lembing yang terlekat di perut Bacok. Sebaik tercabut, bagai ada kuasa ghaib, senjata itu melayang sendiri dan merodok salah seorang pengapit pengantin lelaki. Mangsa mencabut lembing daripada tubuhnya tetapi senjata itu seperti dipandu melayang pula mencari tetamu yang lain. Begitulah seorang demi seorang rebah sehingga lembing menemui mangsa ke-99 iaitu ayah Dayang.

Anehnya selepas dicabut lembing yang terlekat di perut ayah Dayang oleh tangan Dayang sendiri, pergerakan lembing tersebut terus "mati". Awang pula meninggalkan Muar berlayar ke Endau. Dayang menyimpan lembing berkenaan dan tidak bersuami sehingga ke akhir hayat. Lembing itu diperturunkan kepada keluarganya dari satu generasi ke satu generasi hingga kini.




2 comments:

  1. angah,

    karl cm tertarik je dgn muvi ni

    tak tau nape

    sume org xnk tgk tetibe karl nk

    ReplyDelete
  2. salam karl...

    tu la..ramai komplen konon tak ada kualiti tapi bagi angah kita tgk dulu...baru ley komen.

    lagi pon ini filem kita...

    ReplyDelete

dear frens,
who ever u r, where ever u from, what ever u want to b..as long as my frens do says sumthing or comment.
luv u...always.. make my day be brighter.