Friday, January 30, 2009

BELANGSUNGKAWA ARWAH ROSLI KHAMIS @ LOLOQ


AL-FATIHAH...
Semoga Allah mencucuri rahmat terhadap roh arwah Loloq yang telah genap setahun meninggalkan kita semua, jua semoga beliau berada di kalangan mukminin dan beramal soleh.

Belangsungkawa (1957 - 2008)

Rosli Khamis @ Loloq @ Nurbisa, seorang seniman sejati dalam diri yg tiada tolok bandingannya antara karyawan dan penulis lirik di tanahair. Telah setahun meninggalkan kita semua, masih terasa ketiadaan beliau, karya beliau dan juga semangat kental jati diri beliau mengharungi dugaan dan cabaran untuk menjadi anak seni yang di segani.
Nukilan beliau begitu puitis, setiap bait dan rangkap di hasil begitu teliti dan mempunyai jalan ceritanya tersendiri. Beliau seorang global terhadap kejadian dunia hari ini, menghalusi karya sejarah tanah melayu dan juga sejarah Islam, penggunaan bahasa baru dalam karya dan juga rapat dengan alam semesta.
Beliau tiada dua... hanya seorang lebih dikenali sebagai LOLOQ dan juga sahabat karib M.Nasir yg sentiasa menjadi cermin dan penasihat jua pendengar yg setia M.Nasir sehingga kini ketiadaan beliau begitu terasa buat sahabat karib yang sejiwa. Beliau menyertai Luncai Emas milik M Nasir sejak tahun 1990 sebagai penulis lirik eksekutif. Malahan, M Nasir adalah rakan yang bertanggunjawab membawa Loloq ke dunia seni. Justeru itu, kebanyakan senikata @ lirik tulisannya dinyanyikan oleh M Nasir seperti Keroncong Nostradamus, Apokalips, Andalusia, Insan & Manikan dan lain-lain lagi. Sebelum beliau menghembus nafas terakhir, beliau sempat menghabiskan hasil karya terakhir untuk album Misha Omar yang berjudul Cinta Adam & Hawa yang kini semakin popular dan sentiasa di mainkan di corong radio.

Lagu & Kenangan.
GHAZAL UNTUK RABIAH - Juara Lagu 1997. Hasil karya bersama M.Nasir dan juga lirik Loloq. Karya yang unik gabungan muzik arabian dan ghazal sesuatu yang baru ketika itu. Malah gabung suara 2 orang seniman yang berbakat besar menyerlahkan lagu kewibawaan lagu tersebut.
ANDALUSIA - Andalusia menjadi juara pada Juara Lagu 1999, kemenangan ini memberikan anjakan yang besar tentang peri pentingnya lirik yang baik mendukung lagu yang hebat. Dalam suasana lagu tempatan yang di di dukung oleh lirik berbasa-basi, Andalusia kelihatan agak terasing. Lagu Andalusia diciptakan oleh M Nasir, lirik Loloq dan dinyanyikan oleh M Nasir sendiri. Andalusia membawa kita menjejaki mimpi mimpi silam kegemilangan kerajaan Islam di Andalusia [kini Sepanyol]. Tetapi kini kegemilangan itu telah hilang dan Loloq menulis, "Biarkan warna kubah-kubahmu kian pudar, untukmu setanggi ini kubakar." Begitu mendalam maksud hasil karya beliau dan jua luahan hati tersirat membakar semangat seni karyanya.

Bonda , Mentera Semerah Padi, Di kala Asmara Lepaskan Layarnya, Layar Impian, Ratnaku, Ana Permata Timur, Sup Selipar, Ngam Ho, Aduh Salliha, Awan Terpilu, Sembunyi, Nur Nilam Sari, Cinta Sakti, Di Ambang Wati, Nurbisa dan banyak lagi antara lagu-lagu yang popular. Kelahiran allahyarham bersama dunia seni bermula dengan penghasilan karya lagu rock hinggalah terkini beliau telah melebarkan sayap dalam semua ritma dan irama kesesuaian lirik hingga beliau turut menerima Anugerah Lirik Nasyid 2006 serta Anugerah Penulis Lirik pada Anugerah Cipta Wangsa Malaysia 2005.
Beliau turut menjadi teman baik pengarah/penulis skrip Mamat Khalid. Boleh di katakan setiap filem Mamat Khalid pasti ada Loloq seperti Lang Buana, Zombie Kg Pisang, Rock dan juga Man Laksa, malah karektor dalam filem ketara penampilan beliau sebagai rocker mahupun berbangsa tionghua (ibunya seorang mualaf) begitu dekat di hati beliau.
Siapa Loloq
Beliau berasal dari Singapura, bapanya Rosli Dayut berasal dari Masjid Tanah, Melaka dan Ibunya Maimunah Abdullah merupakan seorang berbangsa Cina mualaf.
Hasil perkahwinannya dengan Hairian, dikurniakan tiga anak iaitu Krsty Nur - Krsty bermaksud Rahsia. Jaevn Nur - Jaevn bermaksud Jawa dan Yasha Nur.
Beliau mempunyai minat yang mendalam terhadap bahasa Melayu yang di anggap satu bahasa agung seni halusnya pada zaman kegemilangan Raja Melayu yang begitu mementingkan peradaban kesopanan berbahasa. Beliau mengagumi dengan Hang Tuah yang boleh bertutur 10 bahasa. Begitu juga dengan nama Tun Sri Lanang, setiap perkataan memberi maknanya tersendiri. Tun bermakna Tuan, Sri pula makna tersirat Bercahaya dan Lanang pula adalah Lelaki. Begitulah tingginya bahasa bangsa orang Melayu dahulu apabila berkias dalam peradaban. Beliau begitu obses dengan bahasa ibunda dan setiap karya beliau mengangkat BAHASA MELAYU BERKIAS penuh dengan peradaban dan maksud tersirat.
Beliau juga pernah terlibat dgn teater Bukit Kepong dan juga drama sitkom Awie Records malah pernah menjadi pelakon tetamu undangan dalam sitkom Spanar Jaya.

30 Januari 2008
Loloq meninggal dunia di Hospital Pakar Damansara, kira kira jam 1.37tengahari selepas di masukkan Unit Rawatan Rapi kerana di percayai berlaku pendarahan di kepalanya.

Loloq telah pulang tapi beliau telah pun meninggalkan karya yang bermutu tinggi dan mempunyai banyak kelebihannya dan wajar ia menjadi satu khazanah tinggi nilainya yang mungkin tidak ada galang gantinya.


Loloq - adalah mentor angah sejak zaman gemilang rock dan selalu lirik beliau dan Bob menjadi landasan bagi angah untuk menghasil sajak @ puitis.


No comments:

Post a Comment

dear frens,
who ever u r, where ever u from, what ever u want to b..as long as my frens do says sumthing or comment.
luv u...always.. make my day be brighter.