Monday, May 18, 2009

Ikon Transformasi - Berita Harian

credit to Zaidi Mohamad
zaidi m@bharian.com.my
PENGETUA AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina (tiga dari kiri) berkongsi kegembiraan bersama (dari kanan) Akim, Aril, Hafiz, Yazid dan Isma.

Apa lagi yang boleh ditawarkan Hafiz sebagai bintang AF pada musim ini?

MASIH jelas lagi ingatannya pada malam Sabtu lalu apabila merampas kembali takhta gelaran juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) yang memihak kepada lelaki kembali.

Dua tahun terdahulu, gelaran juara AF dikuasai pelajar wanita iaitu Mila (2007) dan Stacy (2008). Buat si juara sudah jelas kini bukan lagi fantasi, semuanya sudah menjadi realiti yang harus disahut dengan berpijak pada bumi yang nyata.

Sepanjang sejarah penganjuran AF itu, daripada musim pertama hingga keempat, pelajar lelaki menunjukkan kuasa dan taring menerusi kemenangan Vince, Zahid, Mawi dan Faizal. Kenangan indah ini pasti diingati oleh Hafiz atau nama sebenarnya, Mohd Hafiz Mohd Suip, 19, apabila dinobatkan sebagai juara ketujuh program realiti popular itu.

Malah, Hafiz turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi wakil pertama bergelar juara dari Bumi Kenyalang. Dengan berimej rambut kerinting, remaja kelahiran Kuching, Sarawak itu sudah mula menunjukkan potensi bakatnya sejak minggu pertama lagi berada di dalam AF7.

Tempat kedua ternyata memberi tuah kepada adik Izwan Pilus, Aril dengan tidak mempersiakan peluang kedua yang diberikan kepadanya selepas diwujudkan AF Masuk. Akim pula hanya mampu berpuas hati di tempat ketiga, manakala Yazid dan Isma masing-masing menduduki tangga keempat dan kelima.
REAKSI Hafiz apabila namanya diumumkan sebagai juara AF musim ketujuh.
Bagi Hafiz, impiannya bergelar penyanyi sudah terpendam sedari kecil lagi. Masih lagi kelihatan naif, mahu atau tidak, dia kini sudah bergelar penyanyi sekali gus menyertai ‘kelab dunia artis’.

Katanya, insya-Allah dia sudah bersedia melalui pahit getir dan suka duka menceburi dunia hiburan. Biarpun impiannya selama ini sudah tercapai, Hafiz memberitahu dia masih berhutang sesuatu kepada ibunya, Halizawati Mohd Salleh.

“Saya pernah berjanji kepada mama sekiranya impian saya sudah terlaksana, kini giliran saya pula untuk memenuhi impiannya bagi mendapat pencapaian yang baik dalam akademik. Selama ini pun, mama yang banyak memberi inspirasi dan galakan kepada saya untuk berusaha habis-habisan mengejar impian.

“Saya harap selepas ini dapat mengimbangi di antara kerjaya yang baru bermula dan akademik kerana kedua-duanya menjadi keutamaan. Saya masih menuntut di Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan dalam jurusan Pelancongan dan Hospitaliti di Sarawak. Pengajian saya masih berbaki setahun.

“Saya pernah terfikir untuk menghabiskan pengajian dulu, tetapi atas dorongan dan semangat mama, dia mengizinkan saya mencapai impian sendiri dulu. Apa juga keputusan saya selepas ini mengenai soal akademik dan kerjaya harus dirujuk kepada pengurusan Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB). Saya tidak berani memberi keputusan lanjut kerana segala perancangan pasti di bawah pihak AESB,” kata Hafiz yang teringin untuk bekerjasama dengan beberapa nama komposer hebat di Malaysia termasuk Audi Mok.

Dengan peratusan sebanyak 46 peratus selepas undian ditutup, Hafiz yang mendendangkan dua buah lagu Kau Bunga Cintaku nyanyian asal Anuar Zain dan single baru, Masih Jelas ciptaan Aidit Alfian dan liriknya Ad Samad, ia sekali gus melayakkannya menerima wang tunai RM20,000 dan diaktifkan oleh Hotlink selama setahun.

Selain itu, anak kepada Mohd Suip Mohd Suut itu turut menerima kereta Honda Accord, percutian ke New York dan barangan seperti sistem teater rumah Arezzo Hoffman, kamera Olympus, jam tangan Hugo Boss, penapis udara Hyundai, telefon bimbit Nokia dan Brand’s InnerShine.

Peratusan Hafiz tidak ketara perubahannya sewaktu diumumkan AC Mizal selaku hos AF7 sebelum konsert final berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil. Hanya berlaku peningkatan dua peratus saja daripada 44 peratus menjadi 46 peratus. Sejauh mana perjalanan dan bukti survival Hafiz selepas ini masih samar.

Memetik kata pengkritik tetap AF7, Adlin Aman Ramlie, selain mempunyai vokal yang baik, apa lagi yang boleh ditawarkan Hafiz sebagai bintang dan ikon transformasi yang dicanang-canang pada musim ini. Mungkin Hafiz dan AESB harus bijak mencari resipi dalam memastikan hayatnya tidak dibiar sepi.

Aril semakin bersemangat

Sementara itu, Aril atau nama sebenarnya Khairil Azam Pilus, 23, begitu bersemangat untuk memastikan hala tuju bidang seninya terus berkembang maju.

Menganggap kejayaannya itu sebagai rezeki yang sudah tertulis, Aril memberitahu dia sudah melakukan sebaik-baiknya ketika mendendangkan lagu Kasih Tak Sampai (nyanyian Padi) dan single terbarunya, Toksik (ciptaan Alim/Shazee dan liriknya nukilan Nurfatima).

“Alhamdulillah, saya cuba sedaya mungkin untuk tidak mengenepikan sokongan pengundi dan peminat yang sanggup mengundi masuk saya kembali ke AF7 biarpun sudah tersingkir pada minggu ketujuh. Ia satu penghormatan kepada saya dan bersyukur mendapat tempat kedua.

“Harapnya selepas ini, kewujudan saya bukan sekadar mengisi ruang kosong yang ada. Sebaliknya, saya mahu menjadi ikon dan ‘sesuatu’ yang boleh dibanggakan industri seni tanah air. Semoga permulaan ini akan menjadi satu penanda aras dalam membuktikan kemampuan sebenar saya sebagai penghibur,” katanya yang memenangi baucar percutian daripada Maybelline, kamera Olympus, set karaoke Arezzo Hoffman, penapis air, jam tangan dan wang tunai, RM 10,000.

Manakala, jejaka kelahiran Johor Bahru, Akim jelas menampakkan keadaan berbeza sejak awal kemunculannya. Akim atau nama sebenarnya Afiq Akim Ahmad, 18 ternyata menunjukkan prestasi yang sangat baik menerusi tugasan dua buah lagu yang diberikan kepadanya.

Jelas kesungguhan dan emosinya ketika menyanyikan lagu asal Faizal Tahir, Bercinta dan Bengang (lagu baru ciptaan Amir, lirik SQ). Cuma dia tidak mampu menyaingi kehebatan Hafiz dan Aril.

Tidak timbul perasaan ralat di hatinya mengandaikan jika Aril tidak diserapkan kembali, mungkin takhta naib juara itu menjadi miliknya.

“Sudah rezeki saya hanya di situ. Malah saya bersyukur berada di dalam kelompok tiga terbaik. Itu sudah memadai. Ini langkah pertama saya menjejaki pengalaman baru sebagai artis yang saya tafsirkan memang cukup mencabar.

“Saya hanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pernah berhasrat mahu melanjutkan pengajian dalam bidang perniagaan. Namun selepas menjadi ‘graduan’ AF7, saya mula terfikir untuk belajar dalam bidang muzik pula. Dengan bakat yang ada di samping pengalaman yang ditimba di dalam AF7, saya bersedia menerjah persada seni,” katanya yang cukup menggemari genre muzik pop jazz dan idolanya adalah Jason Mraz.

Di tangga ketiga, Akim menerima baucar percutian bernilai RM2,000, kamera dan wang tunai RM 8,000. Yazid hanya menerima kamera dan wang tunai RM 3,000 manakala Isma hanya menggenggam trofi AF7 saja. Wang tunai yang disediakan kepada pemenang disumbangkan Astro.

No comments:

Post a Comment

dear frens,
who ever u r, where ever u from, what ever u want to b..as long as my frens do says sumthing or comment.
luv u...always.. make my day be brighter.