Sunday, May 24, 2009

P.Ramlee tiada di mata, tidak di lupa.

credit to: SY MUSSADDAD MAHDI (Utusan Malaysia)

Karya seni adalah satu daripada kerja Tuhan, oleh itu buatlah bersungguh- sungguh dengan penuh kejujuran,” itu antara bait kata-kata yang pernah keluar daripada mulut Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Siapa yang tidak mengenali P. Ramlee? Walaupun sudah meninggalkan kita, karya-karya yang dihasilkannya sering disiarkan di radio mahupun di kaca televisyen.

Saban hari muzik mahupun filem yang pernah dihasilkan ditonton tanpa jemu. Walaupun pelbagai karya baru cuba bersaing dengannya, peminat masih lagi mendambakan karya-karyanya seolah-olah tiada pengganti.

Jumaat ini 29 Mei, genap 36 tahun pemergian P. Ramlee. Dalam tempoh itu juga pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh kalangan insan seni untuk sama-sama menghargai jasa P. Ramlee kepada bidang seni.

Dilahirkan dengan nama Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh pada 22 Mac 1929 di Pulau Pinang. P. Ramlee mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Francis Light sehingga darjah lima.

Sikapnya yang kurang berminat dalam pelajaran dan lebih kepada bidang seni telah membuka jalan untuk mengambil peluang dalam apa jua pesta yang ada.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu. Bermula pada tahun 1948, lagu Azizah telah melonjakkan nama P. Ramlee kerana bakatnya menyanyikan lagu tersebut telah dilihat oleh oleh pengarah filem B.S. Rajhans.

Bertolak dari situ, P. Ramlee mengorak langkah dalam bidang seni dan memulakan kerjayanya secara serius. Berlakon, berlawak dan menyanyi serta turut sama berpeluang bekerja di belakang tabir.

Walaupun pada permulaan kerjayanya hanya ditawarkan sebagai pelakon pembantu, namun akhirnya P. Ramlee diberi peranan sebagai hero dalam filem Bakti bersama aktres Kasma Booty.

Pada waktu itu P. Ramlee juga telah menyumbangkan bakti dalam filem Penghidupan, Sejoli, Antara Senyum Dan Tangis, Ibu, Hujan Panas, Salah Siapa, Panggilan Pulau, Merana, Abu Hassan Pencuri, Hang Tuah dan banyak lagi.

Kecemerlangan P. Ramlee dalam bidang lakonan terus diuji pada tahun 1955 dengan menjadi pengarah filem Penarik Beca seterusnya diangkat sebagai Filem Terbaik Seluruh Tanah Melayu setahun selepas itu.

Kejayaan tersebut juga telah menjadi azimat kepada P. Ramlee untuk mengarahkan filem kedua, Semerah Padi yang ditunjangi oleh Nordin Ahmad, Saadiah, A. Rahim dan Normadiah.

Bakat yang dimiliki olehnya tidak sekadar pada filem bercorak drama, malah buat pertama kalinya P. Ramlee mengarahkan filem komedi Bujang Lapok pada 1957, menyusul Pendekar Bujang Lapok, 1959 seterusnya terpilih sebagai Filem Komedi Terbaik di Pesta Filem Asia di Kuala Lumpur.

*Menguasai bidang muzik

Kecemerlangan dalam bidang lakonan tidak sedikitpun mematikan minat dalam bidang muzik. P. Ramlee yang dikurniakan bakat bermain alat muzik juga boleh mencipta dan menggubah lagu dengan baik. Sehingga kini banyak lagu-lagu sama ada yang dicipta atau dinyanyikannya masih lagi diputarkan sehingga kini.

Studio Jalan Ampas di Singapura menjadi saksi bahawa P. Ramlee telah pun mencipta beratus- ratus buah lagu semenjak berpeluang menjadi penyanyi latar kepada S. Romai Noor pada tahun 1948 sehinggalah berpindah ke Kuala Lumpur pada tahun 1967.

Selain mengarahkan filem, P. Ramlee juga turut sama menggubah lagu seterusnya dimuatkan sebagai lagu latar atau lagu tema. P. Ramlee menganggap muzik adalah nadi kepada sesebuah filem. Tanpa muzik, filem tidak berjiwa.

Secara kebetulan, kebanyakan lagu-lagu yang dicipta oleh P. Ramlee ini pasti bergandingan dengan penulis lirik S. Sudarmaji. Gabungan antara mereka berdua sangat berhasil dan Sudarmaji memahami jiwa P. Ramlee.

Lagu-lagu seperti Maafkan Kami, Sedangkan Lidah Lagi Tergigit, Tolong Kami, Pukul Tiga Pagi dan sebagainya sentiasa mendapat tempat di hati peminat dari dahulu lagi. Kebiasaannya setiap bait lirik yang terkandung dalam sesebuah lagu adalah terjemahan sisi kehidupan yang dilalui sama ia benar-benar terjadi mahupun apa yang berlaku dalam sesebuah filem yang sedang dihasilkan.

*Pergi buat selamanya

Setiap yang hidup pasti akan mati. Itu janji Tuhan kepada setiap hambanya. Tidak ada yang kekal di dunia ini selama-lamanya. Perjalanan yang diselusuri oleh P. Ramlee yang menutup usia pada 29 Mei 1973.

Ramai yang masih tidak percaya dengan berita mengenai pemergian P. Ramlee pada subuh itu. Berita mengenai pemergian Seniman Agung itu disiarkan melalui radio. Teman-teman rapat di Jalan Boon Teck, Singapura juga mula gelisah dan sedih dengan berita yang mereka terima. Tapi hakikat itu terpaksa diterima oleh setiap peminatnya.

Pada tarikh itu juga ribuan peminat mengiringi jenazah insan istimewa itu untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur selepas disembahyangkan di Masjid Kampung Baru.

Sehingga kini pelbagai usaha yang dilakukan oleh pihak yang berkenaan setiap kali hari ulang tahun memperingati pemergian seniman tersebut. Walaupun sudah tiada, nama P. Ramlee terus kekal subur dalam kehidupan rakyat Malaysia.

Bagi seniman Datuk Aziz Sattar, nama P. Ramlee tidak pernah luput dalam ingatannya setiap masa dan ketika. Setiap kenangan indah bersama sahabat baiknya itu akan muncul dalam fikiran dan hatinya bertambah sayu setiap kali tiba tarikh 29 Mei.

“Saya sentiasa mengingati beliau. Bagi saya P. Ramlee tiada galang gantinya. Setiap karya yang dihasilkan terus kekal sehingga kini.

“Saya selalu teringat pesan beliau kepada saya: Ajis, kalau gua mati hari ini, nama gua tetap akan hidup 1000 tahun lagi. Itulah ungkapan yang saya ingat sampai sekarang,” kata Aziz Sattar ketika dihubungi baru-baru ini.

Tambahnya lagi, Aziz berbangga apabila pihak kerajaan mengiktiraf jasa yang telah dicurahkan oleh seniman tersebut dengan pelbagai anugerah dan gelaran yang diterima oleh P. Ramlee.

Bagi pelakon dan penyampai radio Sinar FM, Raja Azura, P. Ramlee merupakan insan seni yang paling disanjungi dan dihormati sehingga kini.

“29 Mei 1973 hanyalah tarikh yang memisahkan kita dan dia. Tapi bagi saya dia masih lagi ‘hidup’ dengan karya-karya yang kita tonton seharian.

“Saya tak rasa orang Malaysia akan terus melupakan jasa dan keringat yang telah dicurahkan oleh P. Ramlee dalam membangunkan industri seni kita sejak dahulu lagi.

“Walaupun secara zahirnya saya tidak pernah berkenalan dan berjumpa dengannya, segala kenangan yang ditinggalkan menerusi lagu dan filem masih terpahat dalam ingatan saya sehingga kini,” jelasnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Lain pula bagi Ashraf Muslim. Selaku pelakon baru dia sangat menghargai jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh P. Ramlee selama ini dalam apa juga medium.

Ashraf juga menganggap P. Ramlee sebagai legenda sepanjang zaman dan sehingga kini dia masih lagi melihat lakonan-lakonan seniman tersebut sebagai rujukan dan landasan untuknya.

“Tidak semua pelakon mempunyai x factor seperti seninam tersebut. Itulah keistimewaan beliau dan sehingga kini penonton tidak pernah jemu melihatnya.

“Jasa dan pengorbanan beliau kepada seluruh industri hiburan tidak pernah padam sehingga bila-bila,” kata Ashraf.

*************************************************************************************

Dari sumber-sumber sejarah :-

Salasiah Nenek Moyang P.Ramlee dari Acheh

Teuku Banteung adalah salah seorang pahlawan yang turut serta dalam peperangan Acheh melawan tentera Belanda yang tercetus hampir 40 tahun iaitu dari tahun 1872-1938 di Indonesia. Dalam peperangan tersebut Teuku Banteung telah berjuang bersama-sama adiknya yang kemudiannya telah gugur syahid dalam peperangan tersebut.

Setelah kematian adindanya yang syahid itu, Teuku Banteung akhirnya mengambil keputusan untuk menetap di Pasai dan telah berkahwin dengan seorang gadis tempatan di sana. Pada tahun 1887, lahirlah anak lelaki pertama yang di beri nama Teuku Karim.

Setelah Teuku Nyak Karim dewasa, beliau telah berkahwin dengan Khatijah di Kampung Pineung Kacamatan Muara Dua Cunda iaitu sebuah perkampungan yang terletak kira-kira 4km dari Bandar Lhseumawe. Dari perkhawinan ini, pada tahun 1910 lahirlah anak pertama mereka yang di beri nama Teuku Nyak Puteh. Selepas anak pertama ini, lahirlah pula 7 adik beradik Nyak Puteh yang lain di beri nama Teuku Ishaq, Abdullah, Tahir, Syariah, Mohd Ali dan Maun.

Selain Khatijah, Teuku Nyak Karim juga mempunya 3orang isteri yang lain tetapi anak-anaknya yang lahir dari hubungan dengan isteri-isteri yang lain itu sudah meninggal dunia. Teuku Nyak Puteh sejak dari zaman remaja sudah mempunyai bakat menyanyi dengan suara yang sangat merdu, disamping rupa yang cantik sehingga orang-orang memanggilnya dengan panggilan Nyak Puteh Dhiet (yg bermaksud cantik rupawan). Ketika berusia 12tahun, Nyak Puteh telah memasuki sebuah kumpulan tarian iaitu Kumpulan Rapai Pulot di Cunda. Puteh dapat menunjukkan gerak tarian yang berbakat dan telah di beri peranan sebagai penari utama kumpulan tersebut.

Rapai Pulot mempunyai 15 orang penari lelaki dan 5 orang pemukul gendang rapai. Nyak Puteh dalam gerak tarinya berupaya memutar-mutarkan badanya dengan kepala di bawah dan mampu melipat kakinya ke bawah kepala seperti pemain akrobatik.

Kumpulan Tari yang di sertai Nyak Puteh lazimnya akan memenangi pertandingan yang di adakan. Sehinggalah pada suatu ketika kumpulan Tari Rapai Pulot telah tewas dan ini telah menyebabkan Puteh merasa begitu malu dan bersalah lalu menarik diri dari kumpulan tersebut.

Pada waktu tersebut, Aceh dan Tanah Melayu mempunyai hubungan perdagangan yang luas iaitu melalui darat Aceh seperti pelabuhan Free Port Subang, Lhokseumawe, Ulee Lheu, Sigli dan Langsa dengan bandar-bandar seperti Pulau Pinang, Ipoh, Melaka dan Kedah. Cukup ramai para pedagang berulangalik membawa barang dagangan hasil tanaman dan bumi dengan kapal-kapal besar dan kecil.

Banyak pedagang Aceh datang dan pergi membawa barang-barang dan bekerja di kapal dan merantau Semenanjung Tanah Melayu bahkan ada yang menetap di sana. Hubungan erat ini ada kaitan dengan sejarah, sosial dan agama sebagai bangsa serumpun.

Nyak Puteh turut pula merantau dengan bekerja di kapal yang membawa barang dari Lhokseumawe ke Pulau Pinang sehingga beliar mahir dalam ilmu pelayaran. Dengan pengalaman dan ilmu perkapalan yang di perolehi ini, Puteh telah di angkat menjadi Nakhoda Kapal. Akhirnya Nyak Puteh mengambil keputusan untuk menetap di Tanah Melayu dan tinggal di negeri Pulau Pinang. Pada tahun 1925 Nyak Puteh berkahwin dengan seorang perempuan tempatan yang berasal dari Kubang Buaya, Butterworth bernama Che Mah Husin. Che Mah Husin merupakan seorang janda beranak satu seorang anak lelaki. Dia ditinggalkan suaminya seorang berketurunan Arab.

Selepas berkahwin, pasangan ini kemudiannya menetap di 40A Jalan Counter Hall, Pulau Pinang. Hasil perkhawinan tersebut, empat tahun kemudian pada hari Rabu 22 Mac 1929, di pagi Hari Raya Aidilfitri ketika khatib sedang membaca khutbah di Masjid Counter Hall, Pulau Pinang lahirlah anak pertama pasangan suami isteri ini lalu di beri nama Teuku Zakaria yang akhirnya hingga ke hari ini di kenali sebagai P.Ramlee.

***jika ada kesilapan... harap maaf***

Di Mana kan ku Cari Ganti

Hendak ku nangis
Tiada berair mata
Hendak ku senyum
Tiada siapa nak teman
Kalaulah nasib
Sudah tersurat
Begini hebat
Apa nak buat

Di mana kan ku cari ganti
Serupa dengan mu
Tak sanggup ku berpisah
Dan perhati patah, hidup gelisah

Alangkah pedih rasa hati
Selama kau pergi
Tinggalkan sendirian
Tiada berteman dalam kesepian

Dunia terang menjadi gelita
Cahaya indah tiada bergema
Keluhan hatiku membawa derita
Kini kau jua tak kunjung jelma

Di mana kan ku cari ganti
Mungkinkah di syurga
Untuk kawan berduka
Menangis bersama, selama-lamanya


TIADA DUA ... HANYA SATU ...HANYA ALLAHYARHAM P.RAMLEE...
TIADA GALANG GANTINYA ...
SESUNGGUHNYA ALLAH S.W.T MENJADIKAN BELIAU SATU ANTARA BERJUTA....







No comments:

Post a Comment

dear frens,
who ever u r, where ever u from, what ever u want to b..as long as my frens do says sumthing or comment.
luv u...always.. make my day be brighter.